Saturday, 19 March 2011

Graduan tunggu kerjaya idaman - Berita Harian

Graduan tunggu kerjaya idaman
Oleh Alzahrin Alias

2011/03/19

Sikap memilih, tuntut gaji, lokasi punca lepasan IPT sukar dapat pekerjaan

KUALA LUMPUR: Sikap terlalu memilih pekerjaan, selain menjadikan alasan remeh seperti jarak pejabat jauh dan gaji tidak setimpal menjadi punca ramai graduan institusi pengajian tinggi (IPT) sukar mendapatkan pekerjaan.

Malah, ada golongan pencari kerja mendakwa, segelintir majikan mengamalkan sikap pilih kasih lalu menolak calon yang tidak memenuhi kriteria atau kemahuan mereka sebagai alasan tidak ditawarkan pekerjaan.

Sehubungan itu, graduan terbabit sanggup melakukan kerja sampingan, termasuk menjadi pengasuh biarpun tidak menyamai kelayakan akademik dengan kadar upah rendah, selagi jawatan dihajati tidak diperoleh.Seorang pencari kerja, Noor Aishah Hamzah, 26, berkata beliau tidak pernah terlintas menjadi pengasuh kanak-kanak namun terpaksa akur kerana tidak ada pilihan.

“Selepas tamat pengajian, saya berusaha mencari kerja. Namun, selesai temu duga, jawapan saya terima mengecewakan. Permohonan saya sering ditolak dan ada kalanya diminta menunggu jawapan, tetapi hampa.

“Hampir dua tahun saya menganggur. Disebabkan tiada pilihan lain, selain tidak mahu menyusahkan keluarga, saya mengambil keputusan mengasuh kanak-kanak di rumah. Saya sedih, walaupun mempunyai segulung ijazah, saya masih tidak mampu mendapatkan pekerjaan,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Bagi Mohd Amirul Faiz Ahmad, 25, berkata, beliau pernah ditawarkan pekerjaan, tetapi ditolak kerana gaji tidak setimpal, selain faktor lokasi tempat kerja yang jauh. 
“Saya menganggur lebih lima bulan sebelum mendapat pekerjaan di ibu negara. Walaupun jauh berbeza daripada bidang pengajian saya di IPT, namun saya terima kerana terdesak,” katanya.

Seorang lagi anak muda, Shamsul Akhbar Shamsul Hisyam, 27, mengakui terpaksa bekerja dalam bidang berbeza kerana sukar mendapatkan pekerjaan.

“Masalah menjadi rumit kerana terlalu sedikit peluang pekerjaan dalam bidang pengajian saya. Ditambah pula dengan faktor kekosongan jawatan yang tipis, selain kumpulan pencari kerja yang ramai.

“Dulu, ketika mula ditawarkan tempat di IPT, saya hanya mahu mengejar peluang mendapatkan segulung ijazah tanpa memikirkan apakah saya akan memperoleh pekerjaan apabila tamat pengajian,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung, Rahmat Ismail, berkata kesukaran graduan mendapatkan kerja bukan disebabkan kurangnya tawarkan pekerjaan, sebaliknya senario kini sudah berubah.

“Banyak majikan beralih kepada sistem pekerjaan kontrak atau berdasarkan komisen. Namun, pekerjaan sebenarnya banyak dan boleh menampung graduan, tetapi senario pekerjaan sekarang tidak sama.

“Masalahnya, graduan kita, terutama Bumiputera masih lagi mengharapkan pekerjaan dengan gaji lumayan dan kerjaya tetap,” katanya ketika diminta mengulas isu graduan terlalu memilih pekerjaan.

Rahmat berkata, jabatan menyelenggara portal JobsMalaysia dan mendapati kebanyakan majikan menawarkan pekerjaan secara kontrak atau gaji dibayar berdasarkan komisen.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Dcreators